Metadologi Nasyid

Khamis, 9 April 2009


Nasyid bukan Dakwah??

Nasyid memang sebenar-benarnya salah satu cabang dakwah. Salahlah bagi mereka yang mengatakan nasyid hanya satu jenis hiburan alternatif, dan tidak boleh dikaitkan dengan dakwah. Jika bukan dakwah, apa yang kita nak katakan dengan peristiwa bukan Islam yang memeluk Islam mendengar lagu Nasyid? Kalau bukan Islam sehingga memeluk Islam kesannya, tentu lebih banyak lagi kesan dakwah nasyid yang dapat dirasakan oleh orang Islam sendiri. Cuma, sejak kebelakangan ini, nasyid seolah-olah tidak lagi memberi kesan kepada pendengar-pendengarnya sendiri apalagi untuk pendengar-pendengar asing dari dunia yang tidak mengenali nasyid.

Konsep Dakwah Mengikut Zaman.....

Penulis sering mengaitkan dengan konsep dakwah mengikut zaman. Seperti contoh yang kita dapat lihat dalam sejarah, nabi Daud di beri mukjizat oleh Allah melembutkan besi dalam zamannya yang popular dengan pertukangan besi, nabi Musa diberikan mukjizat-mukjizat ibarat ahli sihir, untuk menewaskan ahli sihir firaun yang mana pada zamannya, sihir adalah satu kehebatan besar, Nabi kita Nabi Muhammad sendiri, diberikan Allah mukjizat Al-Quran yang indah bait-bait bahasanya di dalam zamannya yang mengagungkan syair-syair, yang mana keindahan Al-Quran itu tidak terjangkau hebatnya untuk ditiru dan dikalahkan oleh penyair-penyair arab pada ketika itu. Semua mukjizat-mukjizat ini dicipta Allah untuk nabi-nabi ini bagi menarik masyarakat mengikut minat dan budaya mereka, untuk ‘impress’ mereka dengan kehebatan mukjizat ini sesuai dengan zaman dan budaya masyarakat mereka.

Hiburan Kuasai Jiwa...

Maka apakah antara yang dipuja dan mendapat tempat utama dalam masyarakat kita dizaman ini? Sudah pasti HIBURAN. Maka, satu peranan besar untuk penasyid-penasyid ini menjadikan hiburan yakni lagu sebagai alat atau wadah dakwah mereka, selain ulama-ulama melalui ceramah dan ilmu mereka, penulis-penulis melalui penulisan mereka, dan seumpamanya. Kembali kepada niat, maka untuk menjadikan wadah ini benar-benar berkesan, maka niat kita semua harus disemak dan diperbaharui. Kerana iman manusia ini ‘yazid wa yanqus’ bertambah dan berkurang. Kita perlu ingat, apa yang kita lakukan dari hati pasti kan jatuh ke hati. Itulah sepatutnya yang berlaku kepada lagu-lagu nasyid yang menjadi wadah dakwah kita ini. Marilah kita sama-sama cuba pastikan nyanyian nasyid kita, benar-benar datang dari hati yang ikhlas untuk kita tempat kan pula di dalam hati pendengar lagu tersebut agar memberi kesan kepada mereka. Bermula dari niat kita, pembikinan album, rakaman lagu di studio, pemilihan lirik dan lagu, susunan muzik, sekecil-kecil perkara pun harus di ambil berat sekiranya boleh membantu memfokuskan niat kita, umpama berwudhu sebelum rakaman, solat hajat, menghadap kiblat, berdoa sebelum rakaman dan seumpamanya. Kerana pernah dalam Islam sekecil-kecil amalan bersugi pun mampu mempengaruhi natijah usaha kita, sekecil-kecil rengangan dalam saf pun, mampu menewaskan kita dalam peperangan besar, maka dalam usaha dakwah kita, sekecil-kecil amalan pun perlu kita titik beratkan agar natijah lagu kita tidak mampu menjadi asbab hidayah kepada pendengarnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan